Friday, March 20, 2009

Baitul Muslim: A Review


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,
1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,
2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,
3 – Orang yang berperang di jalan Allah.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

Dunia kampus merupakan alam yang begitu mengasyikkan dalam melayari sebuah perjalanan menuju kedewasaan. Rata-ratanya meredah sebuah perjalanan menuju martabat dan makam kematangan. Kematangan dalam fizikal, berfikir, membuat keputusan dan membina sebuah jati diri seorang insan.

Dalam perjalanan ini, isu yang paling mendapat perhatian saban waktu adalah isu berpacaran atau berpasang-pasang-nya remaja lelaki dengan perempuan. Cukup kagum apabila ada sahabat-sahabat atau teman-teman yang mampu mengawal dan menjaga gelodak nafsu dengan bijaksana. Bagi mereka yang faham dan mengerti, sudah tentu medium Baitul Muslim menjadi rujukan utama. Alasannya, mahu mendapatkan keredhaan ALLAH, tidak mahu terjebak dengan couple, zina, dan sebagainya. Lalu, mereka meminta pertolongan orang yang dipercayai untuk memudahkan terlaksananya hasrat mereka.

Adakah ia berakhir sampai di situ? Sudah tentu tidak. Ini baru suatu permulaan menuju sebuah permulaan yang baru. Lantas di sinilah terujinya persiapan diri dan iman kita selama ini. Bermacam-macam kerenah dan masalah yang berlaku. Bagi yang benar-benar kuat, Alhamdulillah. Tapi, berapa sangat yang kuat? kerana sudah tentu yang terjebak itu lebih ramai.

Antara situasi yang sering dihadapi:
1- Kita putuskan saja hubungan ini kerana saya tidak serasi dengan dia. Saya tidak boleh terima kelemahan dia.

2- Saya rasa saya dah tak mampu nak tunggu dia sebab dia tidak serius dan dia tidak pernah merancang bila kami akan berkahwin.

3- Takpelah.. dalam tempoh ni, kita berkenal-kenalanlah dulu. kenali hati budi masing-masing. Kalau agak-agak kita ni tak serasi, kita putus jelah nanti.

4- Hmm... bila dah 'settle', maksudnya kita dah boleh naik kereta berdua-duaan. Yang penting janganlah bagi sahabat-sahabat lain nampak. Nanti apa pula kata mereka.

5- Boleh tak awak temankan saya ke rumah bakal suami saya? Kat sebelah rumah dia ada kenduri, jadi dia ajak saya datang ke rumah dia.

6- Sayang, saya sayang sangat kat awak. Moga hubungan kita ini sentiasa diredhai Allah.

7- Saya nak bagi hadiah pada awak sempena hari ulang tahun awak pada bulan Hijrah. Yang aritu hadiah untuk bulan masihi.

8- Melalui telefon: Awak, bangunlah... Sekarang ni waktu terbaik untuk kita qiamul lail. Awak doakan supaya hubungan kita berkekalan ye...

9- Saya beli sepasang jam. Satu awak pakai, satu saya pakai. Moga bila kita pakai jam ni sama-sama, hati kita akan bersatu..

10- Tolong carikan untuk saya seorang muslimat yang wajahnya begini, warna kulitnya begini, dsb.

Catatan di atas hanya sebahagian, dan sebahagian yang lain tak mampu untuk diceritakan...

Itulah hakikatnya yang rata-ratanya dialami oleh kita semua yang memiliki keinginan untuk bermanja, dimanja, dan memanjakan seseorang pasangan pilihan. Di saat jutaan sel dan hormon dewasa di dalam badan mula aktif. Perasaan ingin berpasangan yang semakin membuak-buak. Kehangatan perasaan jiwa yang bukan semakin suam, tetapi terus membara dan membakar hati.

Ya... perasaan tersebut memang sukar untuk surut dan reda. Hati-hati mereka akan terus dibanjiri dengan seribu kekacaaun dan gelojak jiwa ingin bercinta, menyintai dan dicintai. Malangnya, asal niat yang tadinya mahu mencari keredhaan Allah, mahu menjauhi couple dan zina sudah berubah arah.

Kita ini bukan malaikat yang sunyi dari dosa. Kita ini hanya manusia biasa, yang mudah lupa. Saban hari pelbagai isu disebarkan yang benar-benar mengganggu ruang hati yang mengajak kepada perasaan yang pelbagai, termasuklah membangkitkan perasaan cinta dan ingin berpasangan. Ditambah lagi dengan realitinya dunia yang sememangnya begitu. Menjadikan hati-hati naluri manusia bergelar remaja begitu mudah dirangsang. Asal mulanya hanya ingin memberi tazkirah sebulan 3 kali, berubah kepada berkongsi masalah sekali sekala, lalu bertanya kabar saban hari lantas menghantar mesej sehari 30 kali.

Maka, ianya suatu yang bukan lagi menghairankan manusia biasa seperti kita. Asal mula memasang niat untuk membina keluarga. Ingin bersama di masa hadapan dalam sebuah perkahwinan yang indah dan penuh keredhaan. Namun, lantaran mahu mengenali hati budi terlebih dahulu, akhirnya jatuh ke lubuk maksiat tanpa disedari. Niat menyelami hati budi, akhirnya terlajak. Begitulah betapa syaitan menipu manusia dengan senjata perasaan dan naluri cinta yang terkandung di dalam diri-diri manusia itu sendiri.

Di dalam menghadapi sebuah suasana ini, penyelesaiannya tidak lain. Iaitu adalah dengan Islam itu sendiri. Dengan sebuah agama yang cukup-cukup sempurna dan tidak terkalahkan. Sebuah solusi yang begitu agung dan mulia. Sebuah agama yang agung, sudah pasti memiliki sebuah pilihan jalan yang cukup-cukup agung dan ulung.

Islam memberi pilihan dengan sebuah ikatan bernama “Pernikahan”.

Namun sayangnya... betapa ramai di antara kita yang tergolong dalam golongan faham dan mengerti, memandang kalimah pernikahan sebagai sebuah perkara yang negatif. Pelbagai alasan yang diberi. Di antaranya:

1 – Belum sampai masanya. Kerana masih terlalu muda.
2 – Belum sampai waktunya, kerana masih di alam pengajian dan mahu menamatkan pelajaran sehingga meraih segulung ijazah terlebih dahulu.
3 – Belum ada duit untuk membina sebuah rumahtangga.
4 – Keluarga masing-masing tidak memberi laluan.

Inilah bentuk-bentuk alasan yang cukup sering kita perolehi dari mulut-mulut mereka. Betapa negatifnya mereka terhadap sebuah alternatif yang cukup-cukup baik lagi sempurna yang telah disediakan oleh agama Islam. Besedia untuk berhubungan, tapi belum bersedia merancang dan membina masa depan.

Di dalam alasan “belum sampai masanya” tersebut jugalah mereka mengambil masa yang ada bagi melayari sebuah ikatan terlarang. Menghalalkan bersenda-gurau, menghalalkan bermanja suara, menghalalkan apa yang dilarang kepada orang lain. Fatwa mana yang mereka gunakan? Yang pasti bukan fatwa agama, melainkan fatwa jiwa yang dirujuk dari orang ketiga bernama Syaitan.

Begitulah ramai di antara kita hanyut dengan fatwa jiwa masing-masing. Meninggalkan yang halal dengan mengambil yang haram. Memandang maksiat itu hanya pada zina yang nyata, tetapi lupa pada zina hati, mata dsb. Akibatnya? Anda sendiri jawab...

Berbalik semula kepada hadith nabi:
“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,
1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,

2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,

3 – Orang yang berperang di jalan Allah.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

Bagi yang dah terlajak, kembalilah kepada fitrah... Daripada kita mengambil berat tentang orang yang belum tentu menjadi suami/isteri kita, lebih baik kita ambil tau tentang usrah mana yang belum selesai, tugasan mana yang memerlukan tenaga kita, dsb......

Kita tau apa yang terbaik. Tapi kadang-adang kita lupa kerana kita banyak merujuk kepada mereka yang belum melalui alam Baitul Muslim yang realiti.... Selama ini, kita yakin pada Allah untuk setiap gerak kerja yang kita lakukan, tapi mengapa tidak untuk kali ini? Kalau kita mampu untuk menjaganya dengan baik, Alhamdulillah. Tapi bagi yang tidak mampu mengawal? Bagaimana?

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, sehingga Adam a.s rindukan Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada cinta Allah yang Maha Agung, disitulah segala jawapannya.


p/s: Catatan ini lahir dari hati dan hanya pendapat peribadi. Bukan ditujukan untuk menyakitkan hati, tetapi sekadar menyampaikan apa yang ada di dalam hati. Ketahuilah, aku amat menyayangi kalian walau tak mampu untuk ku zahirkan... Aku juga insan yang lemah.

Tuesday, March 17, 2009

Filem Slumdog Millionaire Yang Mengagumkan...




Dua hari yang lepas baru saje 'tertengok' (maksudnya tak sengaja tengok) filen hindi (campuran English) yang bertajuk Slumdog Millionaire. Pada mulanya tak berani nak tengok sebab ada adegan yang ganas dan mengerikan seperti adegan pembunuhan, kekejaman.. Huh,.. memang tak berani nak tengok, tapi try jugak tengok2 pejam bila ada babak yang lucu...

Akhirnya, tidak sia-sia... tertengok berubah menjadi minat. Kisah kehidupan sebenar yang berlaku di India. Inilah first time tengok movie hindi yang xde adegan tari menari & bergantian baju (tidak semua filem hindi tidak membawa pengajaran yang baik...).

Secara peribadi, filem ni memang HEBAT!! dan memang patut menang besar (8 anugerah) dalam anugerah OSCAR 2009 baru2 ni di Kodak Theatre. Kisahnya simple dan latar belakangnya kebanyakan berkisar di kawasan setinggan. Seorang lelaki bernama Jamal lakonan Dev Patel yang berjaya menjawab semua soalan dalam 'Who Wants To Be a Millionaire' hanya berdasarkan pengalaman hidupnya yang sangat-sangat mencabar. Semuanya berkaitan hidup & mati. Katanya, Tidak Perlu menjadi genius!

Kalau dalam jemaah ada orang2 seperti Jamal, tentu agenda dakwah dapat dilaksanakan dengan lebih meluas kerana tidak banyak songeh dan memberi alasan lantaran memang tiada pilihan. Hanya antara hidup dan mati... Secara realitinya, kita banyak bagi alasan kerana terlalu selesa dan tidak pernah berada dalam persimpangan dilema seperti yang dialami oleh tentera Badar: Islam ini, kalau tidak ditegakkan hari ini, pasti selama2nya tidak akan mampu ditegakkan.

Itu luahan hati mereka kepada Allah seperti mana diceritakan oleh seorang ustaz suatu ketika dahulu...

Moga dapat menjadi iktibar buat kita semua...

5 bintang buat filem ini...

Thursday, March 12, 2009

Taubat Seorang Hamba




Munsyid : Irsyadee Feat Hafiz Hamidun

Hati hiba mengenangkan dosa2 yg ku lakukan,
Oh Tuhan Maha Kuasa,
Terima taubat hamba berdosa...

Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x.....
Taubatku ini.....

Telah aku merasakan derita jiwa dan perasaan,
Kerana hilang dari jalan menuju redhaMu ya Tuhan.

Ku akui kelemahan ini,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x...
Taubatku ini...

Di hamparan ini ku meminta moga taubatku diterima...

Lagu yang sungguh bermakna buatku tatkala diri ini teringat akan dosa2 lalu... Mengimbas kembali sesi usrah bersama2 sahabat2 pada selasa lepas, yang mengupas Bab 6 (Bahagian 1) dan Bab 1 (Bahagian 2) Buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam (oleh Ust Fathy Yakan). Berbicara soal menjadi muslim yang sejati. Berkongsi pendapat tentang isu2 terkini kehidupan mahasiswa di sekeliling kita, dsb. Sebenarnya aku bukanlah orang yang layak untuk menyampaikan usrah, tapi aku menganggapnya sebagai suatu tanggungjawab dan aku telah mula mencintai tanggungjawab itu sejak Tahun 2 dulu....

Mengimbas kembali kehidupanku 4 tahun yang lalu ketika aku menjalani kehidupan sebagai insan yang biasa2 saja. mungkin pada waktu itu 'label' pada diriku adalah MAD'U (sasaran dakwah). Seingatku, ketika itu, aku selalu 'berlari-larian' dek kerana tidak mahu diusrahkan.. Tak sesuai dengan jiwaku pada ketika itu yang sedang asyik dengan duniaku, 'hyperaktif'', banyak cakap (mana taknye, dah selalu wakil sekolah dalam pantun dan perbahasan dan kebudayaan), dsb. Walaupun surau di kolej tersangat dekat, tak pernah terlintas untuk menjejakkan kaki... Tapi itu dulu, sebuah kisah yang telah kulipat, dan kusimpan dalam muzium kisah silamku... Hari ini, Alhamdulillah, byk yang berubah... teramat banyak sehingga tak mampu untuk kuseru seluruh anggota tubuh ini beribadah menyatakan kesyukuran kepada-Nya...

Kepada shbt2 yg pernah memberikan semangat dan membimbingku, tak terhingga rasa terima kasih ini utk kusampaikan kpd kalian. Kak Wahed (yang selamber), kak faridha (yang thiqah), kak huda (yang sgt sabar), kak Lia (yang sgt komited melayan kerenahku), kak Roshafazah (naqibah pertamaku), kak Yani (Roomate yg banyak memberi teladan yg baik), Sabrina (yang pernah bersusah senang bersama), kak Izni & kak Aida (yang pernah tumpangkan bilik berhari2), kak Ezani (yang comel), kak Ami (yg tumpangkan bilik masa PRK) dan ramai lagi.... Terima kasih kerana sudi memahami di saat insan lain menyisihkanku.... Terima kasih juga buat sahabat2 serumah yang membuatkanku aku cemburu dengan amalan mereka (tak salah kan?)

Suatu masa, selepas di buang kolej, aku pernah mengingatkan kepada rumetku:
" Lepas ni, tolong bantu saya untuk menjauhi PMI, kerana saya tidak mahu lg terjebak dgn mereka!"

Hmmm... akhirnya, hingga kini aku masih lg 'melekat' dan seakan tidak mahu berpisah kerana aku terlau sayangkan PMI dan shbt2ku... Teringat pada kata2 ustaz,
"Sebaik manapun kita, kalau Allah tak pilih kita utk menjadi ahli-Nya, sampai bila2 Allah tak kan pilih. Tapi, sejahat manapun kita, kalau telah ditakdirkan oleh Allah untuk memilih kita sebagai ahli-Nya, maka suatu saat, pasti hidayah itu akan sampai."
Syukran ustz atas nasihat itu. Di atas jalan inilah, aku menemui teman hidupku yang juga teman seperjuanganku pada masa ini (mudah2an kekal menjadi teman hingga ke syurga nanti...)...

...Ya Allah, izinkan aku untuk kekal di atas jalan-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu hingga ke nafasku yang terakhir. Kurniakan aku dan seluruh ahli keluargaku taufik & hidayah-Mu agar kami tergolong dalam golongan orang2 yang bersyukur ke atas segala nikmat-Mu...

Tuesday, March 10, 2009

Mengapa perlu solat Dhuha?

"Sayang, jangan lupa solat dhuha ye nanti..."

Hmm... inilah antara mesej yang akan aku terima secara tetap daripada abi Thariq setiap pagi. Sangat istiqomah dan tak pernah jemu mengingatiku... Kalau pagi itu aku tidak menerimanya, maka aku yang akan mengingatkannya. Mungkin dia tak berkesempatan untuk menghantar mesej. Sebenarnya, bukanlah sebab diingatkan baru nak pergi solat, dan solat itu juga bukan kerana si Abi yang suruh, tapi kebiasaan saling mengingati itu cuba dijadikan lumrah. Agar dapat mengeratkan lagi hubungan kami.

Ketika zaman aku mula mengenali apa itu kehidupan berjamaah, teramat jarang aku melaksanakan solat ini melainkan apabila dah betul2 tak tau nak buat apa pada pagi itu. Tapi, alhamdulillah, Allah berikan kefahaman dan sedikit kekuatan utk terus istiqamah melaksanakan ibadah ini, walaupun ia bukan dalam kategori yang wajib.

Suatu ketika dulu, ustaz pernah ajarkan kepadaku tentang kelebihan solat dhuha. Tapi yang paling aku ingat, ustaz kata solat ini dapat memudahkan urusan mencari 'rezeki'. Rezeki itu tidak semestinya dalam bentuk material, tapi boleh jadi dalam bentuk kejayaan, kesabaran, kegembiraan dsb. Apatah lagi bagi yang sedang mempunyai hajat agar dipermudahkan urusan jodohnya, laksanakanlah solat ini bersama pakej mengamalkan baca surah al-waqi'ah di pagi hari... Mungkin ada betulnya kerana aku sendiri sudah melaluinya..



“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu.
Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”


Kadang-kadang, tanpa disedari, doa ini menguji sejauh mana keyakinan dan kebergantungan kita kepada Allah. Keran hanya Dia yg berkuasa mengurniakan 'rezeki' kepada kita. Apakah penat lelah kita itu setimpal dengan hasil yang kita perolehi? Hanya Dia yang menentukan. Jangan dikesali seandainya keringat yang gugur itu akhirnya dibalas dengan kekecewaan kerana mungkin belum tiba masanya untuk kita mendapatkan ganjaran yang terbaik. Atau mungkin, Allah sedang menahan permohonan kita utk digantikan dengan sesuatu yang lebih baik...

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya :

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Yakinlah dengan janji Allah.... Moga kita semua terus diberi kekuatan...


Himpunan 100,000 Bantah PPSMI

Tuesday, March 3, 2009

Ikhlaskah Aku?

"Sembunyikanlah kebaikanmu sepertimana engkau menyembunyikan kejahatanmu supaya ia tidak diketahui oleh orang lain..."

Kata-kata dari sang sufi Rabiatul Adawiyah ini seolah-olah sudah melekat dalam hatiku sejak pertama kali aku membacanya di dalam buku kisah wali-wali Allah semasa di Tingkatan 1 dulu.

Ketika muhasabah diri sebelum terlena malam tadi, sekali lagi ia menerjah ruang benakku dan menguasai ruang hati ini. Mungkin kerana terlalu memikirkan persoalan Ikhlaskah Aku?

Sebagai seorang yang megisytiharkan dirinya sebagai pejuang, tentu banyak masa yang dihabiskan untuk kepentingan agama, berbanding kepentingan diri. Istilah mudahnya ialah 'jihad'. Setiap hari memksa diri bangun seawal pagi untuk mengadap Tuhan, pergi ke kuliah, meeting, program, kuliah agama, memasak, membersihkan ruang yang kotor, usrah, membaca bahan-bahan ilmiah dsb dianggap sebagai jihad dan ibadah. Keluar pagi balik malam. Pergi surau, masjid dan boleh dikatakan sampai satu tahap mungkin kita telah menganggap bahawa terlalu banyak gerak kerja yang telah kita lakukan hingga kadang-kadang kita mengeluh keletihan...

Tapi, pernahkah kita bertanya pada diri soalan-soalan yang berikut:
1- Adakah semua gerak kerja yang kita lakukan itu diterima Allah swt?

2- Adakah benar semua yang kita lakukan benar-benar ikhlas hanya kerana Allah swt? atau mungkin terpaksa kita lakukan sebab takut nanti orang marah kalau kita xbuat, supaya orang nampak apa yang kita buat dan memberi pujian 'Bagusnya muslimat ni, anak sape ye?'

3- Adakah ibadah dan gerak kerja itu membuatkan kita semakin dekat pada Allah atau sebaliknya kita semakin jauh dari Dia?

Alangkah malangnya sekiranya penat lelah kita selama ini rupa-rupanya Allah campakkan semula ke arah kita dek kerana ketidak ikhlasan kita. Rupa-rupanya dalam pada kita syok sendiri mengatakan diri kita sudah banyak menyumbang untuk agama Allah, tiada satu pun yang Allah nilai di hadapanNya...

Bak kata Saidina Ali kaw:
"Melakukan sesuatu kerana selain Allah, itu adalah SYIRIK;
meninggalkan sesuatu bukan kerana Allah, itu adalah RIYAK..."

Astaghfirullah al-azdim... Betapa hinanya diri ini... Betapa tak layak rasanya untuk membayangkan nikmat-nikmat syurga... Betapa kerdilnya aku sebagai HambaNya...
Terngiang-ngiang lagi ustaz pernah bercerita tentang kisah sahabat nabi yang begitu takut akan neraka sehingga berkata:
"Bertuahnya engkau duhai pokok, sekurang-kurangnya engkau tidak perlu dihisab amalanmu di akhirat kelak... Bertuahnya engkau wahai burung-burung, sekurang-kurangnya engkau tidak perlu risau untuk dicampakkan ke neraka di akhirat nanti...'

Wahai Tuhan ku tak layak, ke syurga-MU Namun tak pula Aku sanggup ke neraka-Mu Ampunkan dosaku Terimalah taubatku Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar