Friday, March 20, 2009

Baitul Muslim: A Review


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,
1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,
2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,
3 – Orang yang berperang di jalan Allah.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

Dunia kampus merupakan alam yang begitu mengasyikkan dalam melayari sebuah perjalanan menuju kedewasaan. Rata-ratanya meredah sebuah perjalanan menuju martabat dan makam kematangan. Kematangan dalam fizikal, berfikir, membuat keputusan dan membina sebuah jati diri seorang insan.

Dalam perjalanan ini, isu yang paling mendapat perhatian saban waktu adalah isu berpacaran atau berpasang-pasang-nya remaja lelaki dengan perempuan. Cukup kagum apabila ada sahabat-sahabat atau teman-teman yang mampu mengawal dan menjaga gelodak nafsu dengan bijaksana. Bagi mereka yang faham dan mengerti, sudah tentu medium Baitul Muslim menjadi rujukan utama. Alasannya, mahu mendapatkan keredhaan ALLAH, tidak mahu terjebak dengan couple, zina, dan sebagainya. Lalu, mereka meminta pertolongan orang yang dipercayai untuk memudahkan terlaksananya hasrat mereka.

Adakah ia berakhir sampai di situ? Sudah tentu tidak. Ini baru suatu permulaan menuju sebuah permulaan yang baru. Lantas di sinilah terujinya persiapan diri dan iman kita selama ini. Bermacam-macam kerenah dan masalah yang berlaku. Bagi yang benar-benar kuat, Alhamdulillah. Tapi, berapa sangat yang kuat? kerana sudah tentu yang terjebak itu lebih ramai.

Antara situasi yang sering dihadapi:
1- Kita putuskan saja hubungan ini kerana saya tidak serasi dengan dia. Saya tidak boleh terima kelemahan dia.

2- Saya rasa saya dah tak mampu nak tunggu dia sebab dia tidak serius dan dia tidak pernah merancang bila kami akan berkahwin.

3- Takpelah.. dalam tempoh ni, kita berkenal-kenalanlah dulu. kenali hati budi masing-masing. Kalau agak-agak kita ni tak serasi, kita putus jelah nanti.

4- Hmm... bila dah 'settle', maksudnya kita dah boleh naik kereta berdua-duaan. Yang penting janganlah bagi sahabat-sahabat lain nampak. Nanti apa pula kata mereka.

5- Boleh tak awak temankan saya ke rumah bakal suami saya? Kat sebelah rumah dia ada kenduri, jadi dia ajak saya datang ke rumah dia.

6- Sayang, saya sayang sangat kat awak. Moga hubungan kita ini sentiasa diredhai Allah.

7- Saya nak bagi hadiah pada awak sempena hari ulang tahun awak pada bulan Hijrah. Yang aritu hadiah untuk bulan masihi.

8- Melalui telefon: Awak, bangunlah... Sekarang ni waktu terbaik untuk kita qiamul lail. Awak doakan supaya hubungan kita berkekalan ye...

9- Saya beli sepasang jam. Satu awak pakai, satu saya pakai. Moga bila kita pakai jam ni sama-sama, hati kita akan bersatu..

10- Tolong carikan untuk saya seorang muslimat yang wajahnya begini, warna kulitnya begini, dsb.

Catatan di atas hanya sebahagian, dan sebahagian yang lain tak mampu untuk diceritakan...

Itulah hakikatnya yang rata-ratanya dialami oleh kita semua yang memiliki keinginan untuk bermanja, dimanja, dan memanjakan seseorang pasangan pilihan. Di saat jutaan sel dan hormon dewasa di dalam badan mula aktif. Perasaan ingin berpasangan yang semakin membuak-buak. Kehangatan perasaan jiwa yang bukan semakin suam, tetapi terus membara dan membakar hati.

Ya... perasaan tersebut memang sukar untuk surut dan reda. Hati-hati mereka akan terus dibanjiri dengan seribu kekacaaun dan gelojak jiwa ingin bercinta, menyintai dan dicintai. Malangnya, asal niat yang tadinya mahu mencari keredhaan Allah, mahu menjauhi couple dan zina sudah berubah arah.

Kita ini bukan malaikat yang sunyi dari dosa. Kita ini hanya manusia biasa, yang mudah lupa. Saban hari pelbagai isu disebarkan yang benar-benar mengganggu ruang hati yang mengajak kepada perasaan yang pelbagai, termasuklah membangkitkan perasaan cinta dan ingin berpasangan. Ditambah lagi dengan realitinya dunia yang sememangnya begitu. Menjadikan hati-hati naluri manusia bergelar remaja begitu mudah dirangsang. Asal mulanya hanya ingin memberi tazkirah sebulan 3 kali, berubah kepada berkongsi masalah sekali sekala, lalu bertanya kabar saban hari lantas menghantar mesej sehari 30 kali.

Maka, ianya suatu yang bukan lagi menghairankan manusia biasa seperti kita. Asal mula memasang niat untuk membina keluarga. Ingin bersama di masa hadapan dalam sebuah perkahwinan yang indah dan penuh keredhaan. Namun, lantaran mahu mengenali hati budi terlebih dahulu, akhirnya jatuh ke lubuk maksiat tanpa disedari. Niat menyelami hati budi, akhirnya terlajak. Begitulah betapa syaitan menipu manusia dengan senjata perasaan dan naluri cinta yang terkandung di dalam diri-diri manusia itu sendiri.

Di dalam menghadapi sebuah suasana ini, penyelesaiannya tidak lain. Iaitu adalah dengan Islam itu sendiri. Dengan sebuah agama yang cukup-cukup sempurna dan tidak terkalahkan. Sebuah solusi yang begitu agung dan mulia. Sebuah agama yang agung, sudah pasti memiliki sebuah pilihan jalan yang cukup-cukup agung dan ulung.

Islam memberi pilihan dengan sebuah ikatan bernama “Pernikahan”.

Namun sayangnya... betapa ramai di antara kita yang tergolong dalam golongan faham dan mengerti, memandang kalimah pernikahan sebagai sebuah perkara yang negatif. Pelbagai alasan yang diberi. Di antaranya:

1 – Belum sampai masanya. Kerana masih terlalu muda.
2 – Belum sampai waktunya, kerana masih di alam pengajian dan mahu menamatkan pelajaran sehingga meraih segulung ijazah terlebih dahulu.
3 – Belum ada duit untuk membina sebuah rumahtangga.
4 – Keluarga masing-masing tidak memberi laluan.

Inilah bentuk-bentuk alasan yang cukup sering kita perolehi dari mulut-mulut mereka. Betapa negatifnya mereka terhadap sebuah alternatif yang cukup-cukup baik lagi sempurna yang telah disediakan oleh agama Islam. Besedia untuk berhubungan, tapi belum bersedia merancang dan membina masa depan.

Di dalam alasan “belum sampai masanya” tersebut jugalah mereka mengambil masa yang ada bagi melayari sebuah ikatan terlarang. Menghalalkan bersenda-gurau, menghalalkan bermanja suara, menghalalkan apa yang dilarang kepada orang lain. Fatwa mana yang mereka gunakan? Yang pasti bukan fatwa agama, melainkan fatwa jiwa yang dirujuk dari orang ketiga bernama Syaitan.

Begitulah ramai di antara kita hanyut dengan fatwa jiwa masing-masing. Meninggalkan yang halal dengan mengambil yang haram. Memandang maksiat itu hanya pada zina yang nyata, tetapi lupa pada zina hati, mata dsb. Akibatnya? Anda sendiri jawab...

Berbalik semula kepada hadith nabi:
“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,
1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,

2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,

3 – Orang yang berperang di jalan Allah.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

Bagi yang dah terlajak, kembalilah kepada fitrah... Daripada kita mengambil berat tentang orang yang belum tentu menjadi suami/isteri kita, lebih baik kita ambil tau tentang usrah mana yang belum selesai, tugasan mana yang memerlukan tenaga kita, dsb......

Kita tau apa yang terbaik. Tapi kadang-adang kita lupa kerana kita banyak merujuk kepada mereka yang belum melalui alam Baitul Muslim yang realiti.... Selama ini, kita yakin pada Allah untuk setiap gerak kerja yang kita lakukan, tapi mengapa tidak untuk kali ini? Kalau kita mampu untuk menjaganya dengan baik, Alhamdulillah. Tapi bagi yang tidak mampu mengawal? Bagaimana?

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, sehingga Adam a.s rindukan Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada cinta Allah yang Maha Agung, disitulah segala jawapannya.


p/s: Catatan ini lahir dari hati dan hanya pendapat peribadi. Bukan ditujukan untuk menyakitkan hati, tetapi sekadar menyampaikan apa yang ada di dalam hati. Ketahuilah, aku amat menyayangi kalian walau tak mampu untuk ku zahirkan... Aku juga insan yang lemah.

2 comments:

Nazrie said...

itulah hakikatnya wpun ia dikatakan dlm biah proses baitul muslim..

istilah lain (couple cara islamik)

iQLiMa_nadiah said...

salam..
kak mus, betul apa yang dalam artikel akak ni..hakikatnya begitulah..
"kononnya nak berjuang, tapi duk berjiwang..."
jangan sampai ayat ni terkena pada kita semua.
"Ya Allah, jauhkanlah aku dan sahabat-sahabatku dari fitnah dunia ni.." =)