Monday, April 19, 2010

Alhamdulillah... Akhirnya termakbul doa selama ini...

Thursday, April 8, 2010

Warna-warni Bereksperimen...

~Mampukah saya menghasilkan penemuan yang mampu menyumbang kepada kesejagatan ummah?~


Salam Mahabbah...

Sudah seminggu saya berencana untuk mencuci reacktor yang sudah sangat kotor di dalam makmal. Alhamdulillah, hari ini sudah terlaksana selepas saban hari bermalas-malasan dan bertangguh-tangguhan lantaran teramat tidak ada kekuatan menghadapi reaktor itu. Ini bukan sebarang reaktor. Reaktor yang satu ini, ibarat kuali yang sudah melekat dengan jelaga hitam yang akhirnya menjadi kerak. Ya... Seperti itulah barangkali gambarannya...


Namun, itu bukan satu-satunya alasan. Ada lagi sebab lain yang menyebabkan saya menjadi sangat malas. Yakni, masalah bau yang membuatkan saya hampir termuntah. Sepanjang proses bereksperimentasi, mengumpul gas, liquid dan solid products, maka sepanjang itulah saya harus memakai penutup hidung... Justru, setiap kali eksperimen tidak menjadi, maka saya menjadi agak tertekan. Tapi, apabila eksperimen itu mendatangkan hasil, maka sayalah insan yang paling gembira...


Apapun, sepatutnya saya bersyukur kerana saya kurang terdedah dengan penggunaan asid-asid pekat yang merupakan mimpi ngeri bagi saya. Takut melihat seluar dan kasut kawan-kawan lain yang berlubang-lubang akibat terkena asid. Apatah lagi apabila minggu lepas menyaksikan sendiri seorang pelajar terkena asid seluruh badan. Mujur saja pelajar itu berpakaian labcoat dan bercermin mata. Kalau tidak, Allah saja yang Maha Tahu akibatnya... Moga dijauhkan...


Inilah antara warna-warna kehidupan sepanjang bergelar pelajar Master. Ada masa gembira, dan ada masanya tertekan. Cuma terpulang pada kita bagaimana untuk menghadapinya. Walaubagaimanapun, hidup mesti diteruskan, dan cuba sedaya upaya untuk tidak mengecewakan harapan penyelia... =)

Wednesday, April 7, 2010

Meniti Hari Bahagiaku... Selamat Bertunang...


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain. Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini. Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."


Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.


"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...


"Usah berlebihan ya..."


Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!" Aku tersenyum lagi...

Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Tafaddal, ana puasa." Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.


..........................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."


"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.


Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."


Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...


"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

........................................


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

Sumber: cintailahilahi.blogspot


Saturday, March 20, 2010

Experiment...

~Suasana yang amat saya impikan dan dambakan dalam setiap doa~


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Saban hari saya tertanya-tanya, bilakah masanya akan tiba untuk saya menulis di blog yang telah sekian lama saya biarkan tanpa sebarang perkongsian. Hari-hari saya hanya mampu singgah tanpa dapat menulis entri-entri baru walaupun sesungguhnya teringin benar hati ini untuk menulis banyak perkara di sini.
Bulan ini merupakan bulan yang amat kritikal bagi saya. Dua jurnal yang perlu dibetulkan sebelum dihantar untuk diterbitkan dan satu lagi untuk dibentangkan dalam World Engineering Congress 2010 di Kuching, Sarawak pada bulan Ogos nanti. Di samping banyak lagi eksperimen yang perlu saya jalankan saban hari memandangkan setiap minggu wajib ada progress report untuk dibentangkan kepada penyelia projek saya.

Setiap kali sebelum melapkan mata, saya perlu bijak menyusun aktiviti yang bakal dilakukan esok hari agar masa tidak terbuang begitu saja. Alhamdulillah, suami juga tidak jemu bertanya
"Esok cadang nak buat apa?" Kadang-kadang terharu saya dibuatnya. Setiap pagi sebelum pergi bekerja, suami akan menelefon dan kami akan bersembang selama paling kurang 10 minit untuk saling memberi semangat, bertanya khabar, saling memberi tazkirah untuk mengeratkan lagi ikatan hati yang berjauhan ini... Alhamdulillah....

Minggu lepas saya agak berpuas hati dengan tiga hasil eksperimen walaupun kecewa dengan satu lagi eksperimen. Entah bila saya dapat mengulang eksperimen itu. Minggu depan, saya perlu mengulang
preliminary eksperimen yang sebelum ini kerana hasilnya perlu saya rekodkan di dalam proceeding paper yang bakal dibentangkan dalam bulan Julai nanti semasa Waste to Wealth Conference (saya tidak ingat nama penuhnya). Ini merupakan satu lagi tugasan baru yang diberikan oleh penyelia...

Dalam kesibukan, hati ini selau hiba terkenangkan suami nun jauh di mata... Saya pasti beliau ternanti saat-saat untuk saya menjadi suri rumah sepenuh masa... InsyaAllah, saya akan cuba merealisasikannya secepat mungkin sedaya yang termampu... Saya juga tidak betah berseorangan di sini tanpa suami... Hari-hari berlalu terasa hambar =( Namun, harus digagahi demi memenuhi sebuah janji....

Saya selalu berdoa moga Allah terus memberi kekuatan dan kemudahan dalam melaksanakan segala urusan... Moga pengorbanan pada hari ini menjadi sebuah kemanisan untuk dinikmati dan dikenang oleh semua pada masa yang akan datang... Ameen...

~Iklan WEC 2010... Tarikh tutup menghantar paper ialah 31 Mac 2010...~

Sunday, February 28, 2010

For The Rest of My Life...

Salam..
This song I dedicate to my beloved husband... Thanks to Allah for sending you to me. To be my bestfriend for the rest of my life... The most perfect person for me... The one who make my life full with joy and laught... The one who make my heart full with love and calm... The one who complete my life... May His Bless always with us... Now, I want to let you know that I will always loving you until the end of my life... Insya Allah... Amiin...




For The Rest Of my Life
By: Maher Zain
I praise Allah for sending me you my love
You found your home and sail with me
And I`m here with you
Now let me let you know
You`ve opened my heart
I was always thinking that love was wrong
But everything was changed when you came along
Ooooo
And there is a couple words I want to say
Chorus:
For the rest of my life
I`ll be with you
I`ll stay by your side honest and true
Till the end of my time
I`ll be loving you...loving you
For the rest of my life
Thru days and night
I`ll thank Allah for open my eyes
Now and forever I…I`ll be there for you

I know it deep in my heart
I feel so blessed when I think of you
And I ask Allah to bless all we do
You`re my wife and my friend and my strength
And I pray we`re together in Jannah
Now I find myself so strong
Everything changed when you came along
OOOO
And theres a couple word I want to say

*Repeat Chorus
I know that deep in my heart now that you`re here
Infront of me I strongly feel love
And I have no doubt
And I`m singing loud that I`ll love you eternally

Repeat Chorus
I know that deep in my heart..

Monday, February 15, 2010

Cupcakes buat Aniza, MPOB

Salam Mahabbah...


Minggu lepas saya 'diamanahkan' untuk menyiapkan set cupcakes untuk hantaran sempena majlis perkahwinan Aniza di Johor. Ketika saya dihubungi oleh Aniza, saya baru sahaja selesai solat Dhuha. Maka, tanpa ragu-ragu saya menerimanya. Hati berkata:


"Mungkinkah ini rezeki solat Dhuha?"


Saya meminta Aniza mengirimkan gambar bentuk design dan tema warna yang dikendaki. Nah, inilah kek yang terhasil...



p/s: Selamat Pengantin Baru buat Aniza. Moga perkahwinan sentiasa dalam redha-Nya...

Gua Musang Episod 1....

~Hasrat untuk berbulan madu yang belum terlaksana....~



Salam Mahabbah...

Alhamdulillah wa syukran lillah... Hari ini sudah masuk hari yang ketiga saya menjadi suri rumah sepenuh masa di rumah suami nun jauh di Gua Musang. Jadual kerja yang menyeronokkan. Awal-awal pagi dah sibuk bersedia nak hantar suami pergi bekerja. Hantar suami? Macam pelik aje bunyinya. Tidak mengapa, anggap saja ini sebagai salah satu 'bonus pengabdian' dari seorang isteri buat suaminya. Selalunya kalau abithareeq yang datang ke Ampang, maka beliaulah yang akan menghantar, menemani dan menjemput saya pulang dari bekerja. Tidak salahkan kalau saya juga ingin berbakti seperti beliau.

Alhamdulillah wa syukranlillah juga kerana akhirnya saya dapat memenuhi hasrat abithareeq yang amat teringin 'ada isteri' di rumah seperti petugas-petugas yang lain. Maklumlah, kehidupan yang sangat jauh dari bandar, maka teman-teman setia beliau hanyalah pakcik-pakcik yang setia mengimarahkan surau di malam hari serta pokok sawit yang memenuhi segenap ruang di kawasan ini. Maka, sekarang abithareeq sudah boleh tersenyum riang apabila sudah ada teman untuk diajak bersembang di rumah. Bak kata TokDe, yakni salah seorang petugas di sini:

"Kalau Puan tak datang seminggu lagi, alamatnya terkena penyakit kemurunganlah En. Shuhairy kita ni".

Sampai begitu sekali rupanya kebosanan yang melanda sang suami di sini. Ya, saya amat mengakuinya. Tidak ada chicken chop yang boleh mengisi perut yang kononnya mengidam, tidak ada Mines untuk dijadikan tempat mencari barang-barang keperluan diri, dan tidak ada taman-taman yang boleh dijadikan tempat menikmati keindahan alam. Nak pergi ke bandar pun kena berfikir sepuluh kali lantaran jarak yang amat jauh, jalan yang tak berapa nak elok dan ditambah gaung di kanan dan kiri jalan yang mengacah sikiranya memandu dengan tidak cermat.

Dengan kehidupan yang sangat jauh dari bandar ini, saya tertanya-tanya pada diri:

"Bersediakah saya untuk menjadi seorang suri rumah selepas tamat belajar nanti?"

Oh tidak. Tapi, kenapa tidak? Entahlah, saya belum menemui jawapan... Saya perlu berfikir dan belajar bagaimana untuk memanipulasi ilmu yang saya ada agar dapat diterjemahkan menjadi sebuah kebaikan yang dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat di sekitar sini... Moga Allah memberikan petunjuk. Amiin....