Thursday, February 5, 2009

Selamat Hari Lahir Teman2 Yang Dikasihi



Awan Berarak Ceria
Tiada Titisan Hujan
Pohon Melambai
Tanda Sokongan
Kususuri Perjalanan
Bertemankan Senyuman
Di Hari Lahirmu
Sahabatku
Dedaun Berguguran

Membuktikan Kedewasaan

Walau Tanpa Madah Dan Hadiah

Namun Cukup Bagiku

Sekadar Ucapan
Selamat Hari Lahir
Iringi Doa Kuhulur

Bersyukur KepadaNya
Atas Nikmat Usia
Sahabatku
Usia Yang Tuhan Kurniakan Ini
Dihasilah Ia Dengan Amalan Yang Murni

Semoga Ia Menjadi Temanmu Di Akhirat Nanti
Selamat Hari Lahir
Usiamu Ibarat
Mutiara
Tiada Berganti Lagi
Hiaskan Iman Bersulam Taqwa

Agar Sempat Mengucup
Haruman Syurgawi
(Lagu Saujana)

SELAMAT HARI LAHIR buat teman-teman yang dikasihi... Ana tak ingat semua nama yang lahir bulan 2 kecuali beberapa orang saje, apatah lagi nak mengingat tarikh. Hehe... Maaf ye semua...

Roomate tersayang:
Syafiqa (Kak Lin, MPPUPM 08/09) dan Hazirah (Azie, ex-MPPUPM 07/08),
~Dan ana MPPUPM 06/07~
Sahabat Seumur (merangkap housemate)
Basitah (Basitt, dah tua ye kita ni..)

Sahabat Seperjuangan (juga merangkap housemate)
Farhana Farzieana (Fana, MPPUPM 07/08 & 08/09)

Sahabat penerus perjuangan
Afifah (MPPUPM 08/09)

Sahabat Seperjuangan
Lukman Nur Hakim Abdullah

dan tak lupa juga kepada:

Anak Saudara yang comel
Febriyanti

Dan yang lain-lain yang tidak disebutkan nama, mohon maaf byk2.. Moga Allah berikan kesihatan dan umur yang panjang untuk terus beribadah kepada-NYA dengan penuh sami'na wa atha'na... Amin...



Cinta Kita Cinta Perjuangan


"Cinta itu, tidak pernah meminta, tetapi memberi sepenuh rela... Rasa bahagia biarpun sengsara... Berkorban segala-galanya..."

Semua manusia berhak mempunyai rasa cinta. Pujangga-pujangga cinta menukilkan cinta dengan pelbagai cara... Cinta digambarkan sebagai sesuatu yang sangat luar biasa. Kerana cinta kita dilahirkan... Kerana cinta kita sanggup mati atau syahid... Kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa saja... Tapi bagiku yang sedang 'bercinta', hanya Allah saja yang tau, cinta jenis apakah yang sedang bertakhta di hatiku... Moga perkonsia ini memberi manfaat buat kita semua... Amin...

::Cinta Kita... Cinta Perjuangan::

“Enti menangis..?”

“Untuk apa ana menangis, bukankah akh selalu pesan, jangan menangis kerana manusia.”

“Habis, mata enti berair?”

“Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair.” Aku tersenyum.

Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan ‘masuk habuk’ yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.

“Ana tahu enti menangis..”

“Tidak…!! Tak faham-faham ke?!” Dia tiba-tiba membentak.

“Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama..”

“Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap akh tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…”

“Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?”

“Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah..”

“Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?” Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.

“Akh punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum..” Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?………………………………………….

“Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!” Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya.

“Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.

“Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?”

Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap ‘hangat’ pada malam ini.

“Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai’ah? Bezanya, bai’ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!”

“Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?”

“Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu.”

“Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz.” Dia menamatkan ‘soalannya’ lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.……………………………………….

“Kau kenal dia Abdullah?” Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak.

Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.

“Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!”

Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.

“Jawab soalan aku dulu..”

“Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…” Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.

“Jawab soalan aku dulu..” Aku memohon untuk kali kedua.

“Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan ‘kalah’ dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!”

“Jawab soalan aku dulu..” Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.

“Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "

“Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan.”

“Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka..” Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.

‘Lagi.. negatifnya?”

“Negatifnya.. banyak..” Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung,

“Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu.”

“Apa dia..? Negatifkah?”

“Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi.”“Gerakan militankah?”

“Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat ‘hazar’ yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!”

“Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?”“Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hunungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!

“Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?” Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah.

“Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai’ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!”………………………………………….

Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?

“Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?”

“Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.

“Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya.” Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.

“Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya’ ana sudah mempunyai ‘ikatan’ di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti.” Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.“Ustaz tidak main-mainkan ana?”

“Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain.”
“Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana..” Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi ‘perisik’ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.………………………………………….

Sudah lima bulan aku di bumi ambiya’, suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya’ ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..

“Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar..” dan dia akan terus menyambung,

“Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut..”

Dan biasanya aku akan ‘cemburu’ dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku.

Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber CafĂ© yang menjadi rumah ‘kedua’ku. Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku,

“SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV’

Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej :“you have 1 unread message’ namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan.

“Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. ‘Dia’ yang kau amanahkan padaku untuk ‘tengok-tengok’ telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah ‘dia’, tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!”

Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,

“Akh, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!”

Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!

Tetapkan Prinsip Dalam Perjuangan

Hari ini, Khamis (5 Februari) saya bakal berhadapan dengan Test 1 utk subjek Material Characterization. Setelah sekian lama membiarkan otak ini berehat dari menghafal nota2 kuliah, akhirnya waktu rehat itu telah berakhir... Beberapa hari ini saya agak sibuk (atau menyibukkan diri) dengan beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Barangkali kerana terlalu memanjakan diri, sehingga kadang-kadang agak kekok dalam membahagikan waktu utk mengulagkaji pelajaran.

Sepanjang 2 minggu lepas, saya terlalu 'khusyuk' membaca novel sejarah islamik Muhammad al-Fateh, kemudian disusuli dengan novel Ketika Cinta Bertasbih 2... Membaca bukan sekadar utk mengisi masa, namun lebih dari itu, saya berusaha mencari mutiara-mutiara berharga yang boleh dikutip untuk dijadikan bekalan sepanjang menempuh hari-hari yang mendatang...

Secara jujurnya, saya tak mampu untuk memberi perhatian terhadap bacaan saya sepanjang malam tadi. Sebabnya... saya mendapat berita bahawa kerajaan negeri Perak sedang diuji... Diuji dengan manusia-manusia yang tidak dapat ditafsirkan seperti apakah mereka itu... Terus terang, saya berasa agak risau sekiranya selepas ini pemerintahannya bertukar tangan... Saya amat kagum pada YB NIzar walaupun saya bukanlah anak jati Perak, bahkan tak pernah menetap di Perak. Cuma saya pernah terbaca satu artikel berkaitan seorang pemuda berbaju Pagoda yang menolong seorang sahabatnya yang beliau sendiri tidak kenal, ketika sahabat itu pancit tayar keretanya. Ketika itu beliau belum menjadi MB.

Pada pendapat saya secara peribadi, isu lompat parti perlu diatasi. Kerana kita melihat sekarang ini lompat parti itu menjadi satu permainan. Seperti bermain dam ular tangga. Hal ini sangat melukakan hati rakyat. Ini kerana semasa mereka dipilih oleh rakyat, tidak semua di kalangan mereka dipilih kerana kredibiliti yang dimiliki, tetapi berdasarkan parti yang mereka wakili... Apabila kepercayaan telah diberi, malangnya mereka pula yang tidak sedar diri...

Buat mereka yang mengaku berjuang utk kepentingan rakyat, buktikan kata2 kalian... Buat pejuang-pejuang Islam, kesusahan untuk mendapatkan kemenangan merupakan sebahagia dari ujian.. Tapi, berusaha untuk tidak lalai selepas mendapat kemenangan merupakan satu lagi ujian yang lebih besar. Perjuangan ini sentiasa dipenuhi dengan ujian... Thabatkan hati, pasakkan tekad, amanah ini terlalu besar buat kita kerana ganjarannya itu terlalu besar, yakni mardhatillah...

Apapun, saya yakin bahawa ada hikmah di sebalik semua ini kerana setiap sesuatu yang berlaku, hanya akan terjadi dengan izin Allah...
"Duhai Tuhan Yang Maha Membolak balikkan hati, tetapkan hati kami di atas jalan-Mu, dan dalam ketaatan kepada-Mu.."

Monday, February 2, 2009

Aku Menyayangimu



Aku menyayangimu...
Aku terlalu menyayangimu
Sepenuh hati
walau tak mampu menyayangi
seperti matahari menyayangi Tuhan-Nya
yang taat berjanji memancarkan cahanya..
kerana aku pernah melukakan hatimu
akibat kelemahanku...

Aku mencintaimu...
Aku sangat mencintaimu
sepenuh ragaku
walau tak mungkin mencintai
seperti rembulan mencintai Tuhan-Nya
yang tidak ingkar menghiasi malam...
kerana aku pernah mengkhianati janjiku
akibat kekuranganku...

Aku memerlukanmu
seperti aku memerlukan udara untuk bernafas
seperti aku memerlukan air untuk terus hidup
kerana engkaulah anugerah terindah buatku...

Dalam sujudku,
kupohon agar kita dapat berkumpul kembali
dipenuhi dengan keindahan jannah
yang tak mampu aku bayangkan...

Akan aku menyayangimu hingga ke akhir hayatku
akan aku mencintaimu hingga ke syurga


p/s: Buat insan2 teristimewa dalam hidupku...

Wednesday, January 7, 2009

DIAlah Sebaik2 Perancang

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...



Dah lama rasanya tak menjenguk, apatah lagi mencoret di laman ini. Nak kata busy, tak delah sangat. Cuma mungkin banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan. Apapun, diam tak semestinya hilang...

Banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh 2 bulan kebelakangan ini...
Perkara yang menyenangkan, yang membebankan dan yang biasa2 aje. Dengan berlakunya semua perkara ini, maka aku akan selalu terkenangkan satu ayat yang maksudnya:

" Kita merancang, Allah juga merancang. Namun Alllah jualah sebaik2 perancang..."

Dua minggu yang lepas, secara rasminya aku telah bergelar pelajar baharu. Sesuatu yang aku pernah impikan, tapi tak pernah meletakkan harapan yang tinggi sebab aku tau, menjadi pelajar bukanlah suatu perkara yang mudah semudah memakan nasi lemak ataupun minum kopi o. Masa zaman buat degree dulu pun, agak tercungap2 masa nak buat final year projek. Lagi 2 hari nak hantar 1 draft, baru terhegeh2 nak buat design reactor, design system, nak apply dalam Aspen plus dan nak ejas thesis. Boleh tidur hanya selepas waktu subuh. Memang dahsyat... Alhamdulillah, akhirnya dapat jugak siapkan. Alhamdulillah sebab dalam byk2 group, aku rasa aku yang paling bertuah sbb dlm group tu, aku sorang je melayu, yang 3 orang lg chinese. Jadi, diorang banyak backupkerja2 yang xmampu aku buat. Result yang aku dapat pun sangat memuaskan. Tapi, sejak itu aku bertekad yang aku takkan lagi 'terjebak' atau terlintas utk menyambung pengajian ke peringkat Master... Namun, Aku hanya merancang dan Allah juga merancang, padahal DIA lah sebaik2 perancang... Hari ini, aku adalah pelajar baharu yang masih lagi terikat dgn AUKU seperti teman2 yang lain.

Semasa aku praktikal di Kelantan, beberapa kali aku berpeluang tumpang kereta seorang sahabat (yang kini sudah pun bergelar seorang ibu). Sahabat ni bekerja sebagai Doktor gigi. Pada masa tu, dia tengah sibuk buat persiapan kawin. Dengan siapa? aku hanya tau nama lelaki tu, tapi memang tak pernah tengok rupa parasnya sama ada hensem seperti Ari Wibowo atau tampan seperti Amitab Bachan... Aku sempat jugak temankan dia pergi survey barang2 kawin. Selepas setahun, aku berkenalan dgn suamiku, dan barulah aku tau yang rupanya suamiku pernah menjadi anak murid kepada suami sahabatku itu. Hmm.. di manalah agaknya kak zura sekarang ni.

Dan yang terbaru, ALLAH mengizinkan aku utk meng'ansuran' sebuah kereta idamanku. Dah 2 tahun menyimpan angan-angan, barulah terlaksana. Cuma sekarang ni, kena bekerja keras sbb nak bagi 'makan' 'burraq2' yang ada. Bermakna, kos hidup semakin meningkat, kena bekerja lebih keras, dan tak boleh malas... Tapi, bila dah penat sangat bekerja, selalu juga merintih agar terus diberi kekuatan.

Apapun... hidup ini memang suatu perjuangan, perjuangan memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan memerlukan keikhlasan. Masa yang sedang berjalan tidak boleh dibiarkan begitu saja. DAN... suatu pekerjaan yang kita buat dgn penuh keikhlasan walaupun kita tak suka, akan mebuahkan hasil yang amat memuaskan...

Monday, November 24, 2008

Apa Alasanmu Untuk Tidak Berhijab Duhai Saudari

Masalah berkaitan tudung ini bermula kerana masyarakat Islam tinggal dalam negara majmuk dan kaum wanita mahu berfesyen mengikut mereka yang bukan Islam. Sebenarnya Islam itu mudah dan senang, andainya wanita-wanita Islam memakai tudung adalah lebih cantik dan menarik dan boleh membezakan diri dengan orang yang bukan Islam. Allah ada sebab mewajibkan hambaNya bertudung kerana melindungi pandangan lelaki-lelaki bukan muhrim. Cuba kita lihat wanita bertudung dan wanita yang mendedahkan aurat, melihat wanita bertudung adalah lebih manis dari wanita yang mendedahkan aurat. Secara rasionalnya cuba kita bayangkan makanan yang bertutup itu, tidak ada lalat dan langau yang boleh menghurungnya tetapi makanan yang terdedah akan datanglah lalat dan langau mengerumuninya, begitulah ibaratnya wanita yang menutup aurat dan wanita yang mendedahkan aurat. Walau apapun dosa kita yang menanggungnya, tanyalah diri sendiri dengan apa yang kita mahu di akhirat nanti. Kita ini kepunyaan Allah, ikutilah perintahNya.

Tuesday, November 18, 2008

Jangan Menipu Allah Dengan Bertudung


~sekadar gambar hiasan~

~bertudung dah elok. tapi.....~

Awal tahun 80 an dahulu, tidak ramai wanita yang bertudung. Ketika itu wanita bertudung terpaksa menghadapi cabaran yang besar kerana sering menjadi bahan umpatan masyarakat. Mereka dituduh ekstreem, sesat dan ketinggalan zaman. Bahkan ada juga yang mengatakan itu fesyen ara Arab padang pasir. Kita tidak pelik hal begini boleh terjadi.

Ini disebabkan masyarakat jahil terhadap hukum menutup aurat sehingga mereka tidak dapat menerima, malah memandang serong terhadap syariat menutup aurat. Berkat kesabaran wanita-wanita yang bertudung diwaktu itu, akhirnya masyarakat semakin sedar dan faham bahawa memakai tudung itu adalah untuk memenuhi tuntutan syariat. Seperkara yang menarik di waktu itu, apabila seseorang wanita itu bertudung, maka akan nampak beza tingkah lakunya berbanding dengan wanita yang tidak menutup aurat dan peribadinya sendiri sebelum memakai tudung.

Kalau dahulu dia senang bergaul bebas dengan lelaki, tetapi bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula ditundukkan, bercakap dengan lelaki pun jarang sekali, tidak seronok malah tidak menghadiri majlis yang ada percampuran bebas lelaki dan perempuan, tidak suka berkeliaran di tempat-tempat awam, cenderung untuk mendalami ilmu-ilmu Islam, suka untuk beribadah, akhlak dan tutur katanya menjadi semakin lembut dan lunak. Suka menolong orang, bibir sentiasa menguntum senyum sebagai sedekah sesama muslim, sedia membantu kesusahan orang lain, sudah benci kepada kemewahan dunia, tahan diuji dan sentiasa mencari-cari peluang untuk mengajak masyarakat wanita yang lainnya agar sama-sama menutup aurat.

Lantaran berbezanya mereka dengan wanita yang lain, maka orang pandang tinggi kepada wanita yang bertudung, walaupun masih ramai yang tidak suka kepada mereka. Waktu itu, kalau wanita sudah sanggup bertudung, ertinya di dalam dadanya sudah ada sedikit sebanyak ilmu- ilmu agama. Sekurang-kurangnya dia sudah hafal dalil-dalil Al Quran dan hadith mengenai hal penutupan aurat.Ini disebabkan mereka sering dihujani dengan berbagai pertanyaan mengenai apa yang mereka buat. Untuk menjawapnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yang sesuai dengan nas Al Quran dan hadith untuk menyakinkan orang ramai. Oleh sebab itu orang ramai memandang tinggi kepada mereka.

Di awal 90 an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang-kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara televisyen dan radio pun sudah memakai tudung. Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian. Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup dan hendak buka. Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.



Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan dan sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita- wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung.

Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih canti dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka.Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dengan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu. Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.

Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenat dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan di dedahkan oleh Allah dipadang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat :
" Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak ?"

Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah."

Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?"

Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."

Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat untuk menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.

Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerena pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya. Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya. Jesteru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah.

Di samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kitadan mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.

Nota: Renung-renungkanlah duhai puteri2 kesayangan Rasulullah, Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata... kerana sesungguhnya dirimu begitu berharga....